Wednesday 28 December 2016

JODOH SEBUMBUNG BAB 2



JODOH SEBUMBUNG BAB 2


KEBAKARAN yang marak menyala menghanguskan segala-galanya. Dalam cubaan menyelamatkan diri, Amsyar terdengar raungan penuh kesakitan daripada Pak Cik Adnan. Pada masa yang sama juga, bayi yang berada di dalam dukungannya menangis. Mungkin kerana haba sekitar yang semakin panas. Ditambah pula asap yang kian menebal. Tidak tergamak rasa hatinya untuk keluar dari rumah itu tanpa Pak Cik Adnan.
“Pak cik!” panggil Amsyar dengan sekuat hati.
“Am... argh!” sahut Pak Cik Adnan.
Sebahagian daripada tubuhnya pada ketika itu dihempap almari.
Amsyar segera mendapatkan Pak Cik Adnan yang berada di bilik tidur. Bayi kecil yang berada di dalam dukungan diletakkan ke atas lantai begitu sahaja. Amsyar berusaha menolak almari yang diperbuat daripada kayu jati itu, cukup berat sekali.
“Am, kamu bawa adik kamu pergi dari sini. Masa semakin suntuk. Sekejap lagi bumbung akan runtuh,” pinta Pak cik Adnan sambil memegang tangan Amsyar.
“Tak nak,” tolak Amsyar sambil menggeleng-geleng.
Pak Cik Adnan berasa sebak melihat air mata yang bergenang di kelopak mata Amsyar. Dibelai wajah kanak-kanak yang barusia sepuluh tahun itu.
“Am, dengar cakap pak cik, nak. Adik kamu masih kecil. Dia takkan mampu menahan kepanasan haba di tempat ni. Asap tebal akan menyebabkan dia sesak nafas. Kamu selamatkan adik kamu dahulu, kejap lagi pihak bomba akan sampai. Api akan dipadamkan. Insya-ALLAH, pak cik akan selamat,” pujuk Pak Cik Adnan.
Amsyar menoleh ke arah adiknya. Wajah adiknya kemerahan. Adiknya sudah menangis kuat. Orang dewasa pun tidak tahan dengan keadaan di dalam rumah ini, apatah lagi bayi sekecil itu yang baru berusia enam bulan. Lantas adiknya diambil ke dalam dukungan.
“Am keluarkan adik dari rumah ni, lepas tu Am masuk balik selamatkan pak cik,” akur Amsyar akhirnya.
Dia bukannya bodoh. Mereka kini berada di kawasan yang cukup terpencil. Mana mungkin pihak bomba akan datang sekiranya tidak ada sesiapa yang membuat laporan kebakaran.
Amsyar terus membawa adiknya keluar dari rumah itu dengan pelbagai halangan dan kesukaran. Kesannya, lengannya melecur terkena api yang marak. Amsyar membongkokkan tubuh untuk melindungi adiknya. Tidak mahu nasib yang sama menimpa adiknya.
Sebaik sahaja berjaya keluar dari rumah itu, Amsyar meletakkan adiknya ke tanah. Dia berlari masuk ke dalam rumah yang kian marak apinya.
“Pak cik! Pak cik!” panggil Amsyar sambil mengoncang-goncang bahu pak ciknya apabila lelaki itu seperti sudah tidak sedarkan diri.
“Am, jangan cuba selamatkan pak cik lagi nak, dah terlambat. Pak cik dah tak berdaya lagi,” ujar Pak Cik Adnan sebaik sahaja membuka mata.
Kemudian dia batuk dengan kuat sehingga tersembur darah daripada mulutnya.
“Tak, Am takkan tinggalkan pak cik.”
Dengan segala kudrat yang ada, Amsyar cuba menolak almari itu, tetapi tidak berjaya.
“Am, jangan degil. Pak cik dah tak ada harapan lagi.”
Pak Cik Adnan memberikan sebuah fail yang berada di tangannya kepada Amsyar.
“Segala maklumat kelahiran adik kamu ada di dalam ni. Selepas hari ni, pandai-pandailah kamu jaga diri dan adik kamu, Am. Belajarlah berdikari. Ingat Am, jauhi lelaki yang bernama Syed Mansor seumur hidup kamu. Dia syaitan, Am. Dia iblis yang bertopengkan manusia. Dialah dalang kematian ibu dan ayah angkat kamu. Rahsiakan nama sebenar adik kamu. Cukuplah nama sebenarnya tu ada di dalam kad pengenalannya kelak, tapi jangan sesekali kamu memanggilnya dengan gelaran tu,” pesan Pak Cik Adnan, mengingatkan.
“Ibu dan ayah angkat?” soal Amsyar, tergamam.
Raut wajah kedua-dua orang tuanya yang cukup penyayang terhadapnya selama ini bermain di layar mata.
“Maafkan pak cik, Am kerana melukakan hati kamu. Meskipun perit untuk kamu terima, nilah kenyataannya. Mereka berdua mengambil kamu di rumah anak yatim ketika usia kamu satu tahun dan membesarkan kamu macam anak sendiri. Meskipun adik kamu tu bukanlah adik kandung kamu, jagalah dia seperti adik sendiri sehinggalah dia telah bersuami kelak. Maka tanggungjawab kamu dah lepas.”
Sebaik sahaja Pak Cik Adnan habis berbicara, bumbung mula runtuh.
“Lari Am, lari!” gesa Pak Cik Adnan.
Api kian marak membakar rumah itu.
“Am takkan tinggalkan pak cik. Am takkan!” ujar Amsyar sambil memeluk kepala lelaki itu.
“Am, dengar cakap pak cik, nak. Sekiranya apa-apa berlaku pada Am, siapa yang akan jaga adik Am. Kawasan ni terpencil, tak ada siapa yang akan menyelamatkan adik kamu di sini. Dia mungkin akan mati dibaham binatang buas. Mungkin jugak dia akan mati kesejukan dan kelaparan. Pergi Am, pergi!”
Tangisan adiknya yang begitu kuat dari luar rumah memaksa Amsyar melepaskan pelukan.
“Am, pergi tengok adik kamu. Pergi Am,” rayu Pak Cik Adnan.
Amsyar mengangguk. Dia berlari keluar dari rumah itu. Sebaik sahaja tiba di sisi adiknya, Amsyar terperanjat apabila melihat seekor ular sawa kecil sedang melilit tubuh adiknya. Dalam masa yang sama, kedengaran raungan hebat dari dalam rumah yang kian menyembah bumi. Pasti Pak Cik Adnan telah terbakar hidup-hidup.
“Pak cik!” jerit Amsyar sekuat hati.
Dia mahu berlari ke arah kebakaran itu, namun tiada apa yang mampu dilakukan. Seluruh rumah itu telah menyembah bumi. Tangisan adiknya yang bingit seketika tadi tiba-tiba terhenti. Amsyar bagaikan tersedar daripada lamunan. Dia berpaling ke arah adiknya. Wajah adiknya sudah bertukar biru. Mungkin dijerut oleh ular sawa itu.
“ALLAHUAKBAR!” jerit Amsyar sekuat hati.
“ABANG Am, bangun. Abang,” kejut Elisha sambil menggoncang-goncang bahu abangnya.
“Adik! Adik! Adik!”
Amsyar masih hanyut dalam mimpi. Masa lalu yang cukup mendukakan itu tidak pernah mahu pergi dari hidupnya. Ular yang membelit adiknya itu dicengkam pada
kepala, lalu dia berusaha merungkai belitan ular itu. Meskipun berasa sangat takut, Amsyar sedar dia tiada pilihan lain. Dia terpaksa mengharungi juga situasi itu.
“Abang! Bangunlah!” kejut Elisha sambil semakin kuat menggoncang bahu abangnya.
“Adik, bangun, jangan tinggalkan abang!”
Amsyar mencampak ular itu ke dalam semak. Adiknya yang kaku didakap dan dipeluk dengan penuh kesedihan yang sukar digambarkan oleh kata-kata. Disangkakan adiknya telah meninggal dunia.
Elisha mengambil minyak cap kapak lalu disapukan ke hidung Amsyar. Mungkin cara ini dapat membangunkan abangnya daripada mimpi ngeri itu.
“Adik,” rintih Amsyar, masih bermimpi.
Riak wajah cemas Amsyar bertukar sebak. Dia memeluk adiknya serapat yang mungkin. Seorang adik perempuan yang cukup comel dan sempurna baginya. Bagaikan satu keajaiban, adiknya menangis.
“Adik, abang tak boleh kehilangan adik, tak boleh,” ujar Amsyar sambil memeluk dan mencium adiknya itu.
Kegembiraan menyelubungi hatinya. Rasa yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Namun, tiba-tiba Amsyar berasa hidungnya panas. Terus dia terjaga daripada tidur.
“Ya ALLAH,” ujar Amsyar, terkejut.
Terus dia menolak Elisha yang kini berada di dalam pelukannya.
Elisha tercampak ke bawah.
Amsyar melilaukan pandangan ke sekitar. Dia kini berada di dalam biliknya. Anak matanya jatuh ke arah berpuluh-puluh keping gambar Elisha yang tertampal pada dinding biliknya. Tiba-tiba, Amsyar berasa malu kepada adiknya itu. Bimbang Elisha akan salah faham. Berderau darahnya apabila Elisha turut memandang gambar itu.
“Tutup mata tu!” arah Amsyar.
Elisha bagaikan tidak mendengar arahan daripada Amsyar. Dia sudah menghampiri dinding bilik dan setiap gambar diteliti. Elisha terlopong. Sejak bila pulak Abang Am mengambil gambarnya? Tak sedar pun!
Gambar Elisha sedang memotong sayur, makan, mop lantai, senyum, menangis, geram, dan pelbagai lagi terlekat di dinding.
Apa perlunya seorang abang mengambil gambar adiknya sendiri kemudian menampalnya di dinding untuk dilihat setiap masa? Takkanlah Abang Am ada perasaan songsang terhadap aku? Desis hati Elisha.
“Hah, kau jangan fikir macam tu! Jahat aku pun, aku bukan haruan makan anak,” ujar Amsyar, seperti dapat membaca apa yang bermain di benak adiknya.
Rambut separas bahunya yang menutup sebahagian wajah ditolak ke belakang. Amsyar bangun dari katil lalu bercekak pinggang ke arah Elisha.
“Tak, Elis tak fikir yang bukan-bukan. Gambar ni bukti abang terlalu sayangkan Elis sebagai adik abang. Sebab tu abang mimpi tadi, abang panggil adik. Elis tahu, adik yang dalam mimpi abang tu adalah Elis, kan?” balas Elisha dengan anak mata bersinar.
Beberapa helai rambut yang jatuh di hadapan wajahnya dihembus kuat sehingga kembali ke kepala. Amsyar mempamerkan wajah sinis.
“Tak! Aku tak sayangkan kau! Aku tampal gambar ni supaya setiap kali aku buka mata, aku nampak muka kau dan aku akan sentiasa ingatkan diri aku betapa bencinya aku kepada kau. Sejak kecil sampai besar, kau asyik menyusahkan aku aje,” ujar Amsyar, dingin.
Dia menocang tinggi rambutnya apabila terasa cukup mengganggu. Gambar yang tertampal pada dinding dikoyak-koyakkan di hadapan Elisha.
Elisha mendengar kata-kata abangnya itu dengan hati yang terluka. Tanpa sebab, diri ini dibenci sebegitu rupa.
“Kalau abang tak suka Elis tinggal di sini, Elis boleh keluar dari rumah ni. Elis akan berdikari. Lagipun, Elis bukan budak lagi. Mungkin abang dah lupa, Elis dah 20 tahun,” balas Elisha.
Buat pertama kalinya dia menjawab kata-kata itu. Sudah lama dia memendam rasa atas sikap dan perbuatan Amsyar terhadapnya.
“Ooo... kau dah pandai menjawab sekarang ni ya.”
Anak mata Amsyar bulat. Tangannya jatuh ke tali pinggang yang melilit pinggangnya.
Elisha meneguk liur. Dia mengundur-undur. Menggigil seluruh tubuhnya apabila melihat Amsyar menanggalkan tali pinggang. Elisha tahu, adalah menjadi kepantangan bagi Amsyar sekiranya dia menjawab mulut.
“Abang jangan pukul Elis, Elis adik abang. Adik yang seharusnya abang lindungi, bukan sakiti. Abang, jangan,” rayu Elisha.
Amsyar menghampiri Elisha. Tali pinggang di tangannya mula dilibas ke serata arah tubuh Elisha.
Hanya raungan dan tangisan Elisha kedengaran. Hanya TUHAN yang mengerti kesakitan dan keperitan dipukul dengan menggunakan tali pinggang. Elisha tidak sedar bila pukulan itu berhenti membantai tubuhnya. Yang pasti, pakaian Elisha koyak-rabak dan bibirnya pecah. Tubuhnya menggeletar kesakitan. Elisha separuh sedar.
“Kalau kau sebut lagi nak keluar dari sini, kau tahulah akibatnya!” ugut Amsyar.
Tali pinggang di tangan dicampakkan ke tepi.
“Lagi satu, pastikan ni kali terakhir kau masuk ke dalam bilik aku. Dah banyak kali aku cakap pada kau, jangan jejak kaki kau masuk ke sini,” ujar Amsyar lagi.
Dia kemudian keluar dari bilik tidurnya menuju ke arah balkoni. Sliding door ditolak. Dia keluar dan bersandar tubuh pada palang besi separas pinggang itu.
“Argh!”
Satu raungan kuat dilepaskan. Bergema memecah kesunyian malam.
“Argh!!!” jerit Amsyar lagi sekuat hati.
Apa yang kau dah lakukan ni, Am? Pertanyaan itu bergema di seluruh sanubari Amsyar. Ibu dan abah pernah berpesan pada kau agar jaga Elis sebaiknya. Jangan disakiti dan jangan dilukai. Tapi sekarang apa yang telah kau lakukan? Kau berikan penderitaan padanya? Kau berikan kesakitan? Keperitan?
Apa masalah kau yang sebenarnya, Am? Apa yang kau dapat dengan menyeksa Elis sedangkan dia langsung tak bersalah? Entah-entah, kau menyeksa dia kerana kau ada perasaan terhadap dia?
Amsyar menutup telinga.
“Argh!” jerit Amsyar lagi.
Aku menyeksa dia kerana aku kecewa dengan diriku sendiri. Aku marah dan hampa. Mengapa aku boleh jatuh hati terhadap seorang gadis yang aku jaga sejak sebesar telapak tangan lagi? Akulah yang menguruskan makan dan pakaiannya, namun akhirnya aku kecundang padanya.

Thursday 22 December 2016

JODOH SEBUMBUNG - BAB 1


BAB 1

BAGAIMANA caranya untuk membuang perasaan cinta terhadap seseorang yang tidak sepatutnya kita cintai?
Hembusan nafas yang cukup berat dilepaskan. Dahulu, Pak Cik Bukhari telah menasihatinya agar menyerahkan Elisha kepada mana-mana keluarga. Tetapi sungguh berat rasa hatinya untuk menyerahkan satu-satunya harta yang dia ada kepada orang lain. Tanpa Elisha, tiada ertinya hidup ini lagi.
“Elis tu semakin membesar hari demi hari. Sekarang ni tak apalah dia kecil lagi, kamu tengok pun tak ada nafsu. Bila dah besar panjang nanti, cantik pulak tu, iman kamu akan goyah. Tak pasal-pasal, kamu ‘makan’ dia nanti. Lagipun, kamu dan dia bukan adik-beradik kandung. Kamu tu cuma anak angkat arwah ibu dan ayah dia. Sanggup ke kamu jaga dia? Kamu tu pun budak lagi. Baru umur sepuluh tahun.
Macam nilah, biar pak cik tolong jual Elis kepada mana-mana keluarga yang berminat. Masa depan dia pun terjamin. Kalau tinggal dengan kamu, apalah sangat yang kamu dapat berikan untuk dia. Silap hari bulan, kamu berdua sama-sama tinggal di rumah anak yatim piatu. Kamu nak?”
Amsyar menggeleng dengan laju. Dia rela mengemis di tepi jalan daripada tinggal di rumah anak yatim piatu. Untuk menyerahkan Elisha kepada orang lain juga adalah perkara yang mustahil. Dia sudah berjanji kepada ibu dan ayah Elisha agar menjaga anak kecil itu lebih daripada nyawanya sendiri.
Imbauan masa lampau berlalu pergi. Wajah Pak Cik Bukhari berkecai. Semuanya gara-gara Elisha yang keluar dari bilik tidur dalam keadaan yang cukup menggetarkan jiwa lelakinya. Elisha hanya mengenakan baju tidur separas lutut dan tidak pula bertudung. Lenggang-lenggok Elisha menuju ke dapur.
Getah rambut diambil lalu Amsyar menocang tinggi rambutnya yang panjang separas bahu itu. Dia bangun daripada sofa kulit yang didudukinya lalu melangkah ke arah Elisha yang langsung tidak menyedari keberadaannya di rumah.
Tanpa menunggu lebih lama, Amsyar mencengkam rambut Elisha yang panjang mengurai itu. Tangan kanannya pula mencengkam dagu Elisha. Air kosong yang baru hendak diteguk tersembur keluar daripada mulut Elisha. Gelas kaca yang dipegang Elisha terlepas daripada tangan. Jatuh ke lantai dan pecah berderai.
“Ab...abang, sakit,” rintih Elisha.
Meskipun tidak melihat wajah insan yang memperlakukannya begitu, Elisha dapat mengagak bahawa insan itu tidak lain tidak bukan abangnya sendiri. Amsyar! Ini bukan kali pertama Amsyar bersikap kasar begini terhadapnya.
“Berapa kali aku nak cakap pada kau! Jangan pakai macam ni depan aku! Dah banyak kali aku pesan pada kau, kalau aku ada, kau kena pakai tudung, pakai baju besar!
Faham?” ujar Amsyar dengan nada suara yang ditekan di cuping telinga Elisha.
Bau rambut Elisha yang harum menusuk ke rongga pernafasan Amsyar. Jiwa lelakinya terusik lagi.
“Fa...faham,” balas Elisha sambil berusaha mengangguk untuk meyakinkan Amsyar bahawa dia tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
“Perlahan sangat, aku tak dengar! Kau faham tak ni?”
“Faham!”
Elisha cuba berkata dengan lebih kuat, namun sukar. Cengkaman pada dagunya itu menyukarkannya.
“Bagus. Sekarang ni, aku nak kau pergi masuk ke dalam bilik. Tukar pakaian yang lebih elok. Pakai tudung. Lepas tu keluar dan bersihkan gelas yang pecah ni. Aku tak suka rumah aku bersepah,” ujar Amsyar lalu melepaskan Elisha.
Terburu-buru gadis itu masuk ke dalam biliknya. Bagai dikejar serigala.
Amsyar memerhati sahaja setiap langkah Elisha. Nafas ditarik dalam. Wajahnya yang tegang itu perlahan-lahan berubah riak. Amsyar tersenyum. Hatinya berbunga. Virus cinta itu merebak lagi. Semakin cuba disingkir, semakin membiak dalam hatinya.
ELISHA menutup pintu dan mengunci dari dalam. Dengan tangan yang terketar-ketar, Elisha membuka almari dan mengeluarkan sepasang baju kurung. Tudung turut dikeluarkan. Jantungnya masih berdegup dengan laju lantaran terlampau takut.
Perlahan-lahan Elisha melabuhkan punggung di atas katil. Sungguh, Elisha langsung tidak tahu bahawa abangnya telah pulang ke rumah. Jika tidak, pasti dia tidak akan berpakaian seperti itu di hadapan Amsyar.
Elisha tidak tahu kenapa Amsyar begitu tegas tentang pemakaiannya. Sedangkan dia adalah adik kandung lelaki itu. Mengapa dia perlu menutup aurat seolah-olah abangnya itu adalah lelaki asing yang tidak mempunyai apa-apa persaudaraan dengannya?
Amsyar suatu ketika dahulu seorang abang yang penyayang, kini telah berubah menjadi seorang abang yang cukup bengis dan menakutkannya. Sekelip mata Elisha kehilangan segala keistimewaan yang pernah diberikan abangnya. Dulu, dia disayangi. Sekarang, dia dibenci.
Ketukan pada pintu mengejutkan Elisha daripada terus mengelamun.
“Berapa lama lagi kau nak duduk dalam bilik? Sampai aku pecahkan pintu ni?” jerit Amsyar dari luar.
“Ke...kejap, bang. Elis sedang tukar pakaian!”
Cepat-cepat Elisha menukar pakaian. Tudung dipakai.
Pintu bilik dibuka. Elisha tersentak. Amsyar masih berdiri di hadapan biliknya.
Elisha diteliti dari atas ke bawah. Keindahan seorang wanita yang sepatutnya dilihat seorang lelaki yang bergelar suami telah ditutup dengan sewajarnya. Amsyar berpuas hati. Dia kemudian berpusing untuk ke ruang tamu.
Apa kata aku hiburkan hati aku ni sikit? Amsyar mengukirkan senyuman sinis. Pasu bunga yang berada di hadapan mata ditolak. Jatuh berkecai ke lantai.
Elisha tersentak. Bagai hendak gugur jantungnya ke bumi. Kakinya bagai dipasung pada lantai.
Amsyar mula menyepahkan rumah yang sedia bersih itu semahu hatinya. Setelah puas, dia menuju ke pintu rumah lalu berhenti di situ. Satu kerlingan tajam diberikan pada Elisha.
“Kemas semua tu,” arah Amsyar lalu mula melangkah keluar dari rumah.
Lantas Amsyar masuk ke dalam kereta Honda Civic 2.0 yang tersadai di garaj. Enjin dihidupkan, kereta mula diundur keluar dari pagar. Pedal minyak ditekan keras. Berderum kereta bergerak pergi ke pusat bandar Kuala Lumpur.

AMSYAR menekan loceng apartmen beberapa kali sebelum seorang lelaki yang berwajah bersih membuka pintu.
“Maaf aku lambat buka pintu. Aku tengah solat tadi. Jemputlah masuk,” pelawa Umar.
“Isteri kau ada ke? Kalau ada, kita berdua keluar minum ajelah,” balas Amsyar.
Dia tidak selesa sekiranya isteri Umar ada di rumah. Tidak ada privasi untuk bercakap.
“Tak ada. Aku hantar ke rumah keluarga dia tadi, esok baru balik. Jomlah masuk.”
Amsyar mengangguk lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Dia melabuhkan punggung dengan selesa di atas sofa. Manakala Umar pula menghilang ke dapur untuk menyediakan minuman panas buatnya. Tidak lama, Umar keluar bersama dua cawan air kopi yang panas berasap.
“Kau datang ni mesti sebab nak cerita pasal Elis, kan?” tebak Umar.
Amsyar yang sedang memejamkan mata terus membuka. Hebat! Belum cakap sudah tahu.
“Pasal siapa lagi, pasal dialah. Selama ni pun dialah yang menjadi masalah kepada aku.”
Wajah Elisha terbayang di tubir mata. Menggamit sepasang bibir Amsyar untuk mengukirkan senyuman. Namun ditahan agar tidak dilihat Umar yang bijak membaca fikiran orang lain itu.
13
“Am, aku dah nasihatkan banyak kali pada kau. Lelaki dan perempuan, bila berdua-duaan maka ada yang ketiga, iaitu syaitan. Elis tak boleh lagi tinggal serumah dengan kau. Walaupun selama ni sejak Elis sebesar telapak tangan dan masih merah lagi, kau yang jaga dia, kau yang basuh berak kencing dia, suapkan makan dia dan melayan dia sebagai seorang abang dengan selayaknya, Elis tetap bukan darah daging kau. Sampai akhirat sekalipun, kau dan dia bukan adik-beradik kandung. Haram kau tinggal berdua-duaan dengan dia dalam satu rumah.”
“Kalau aku sewakan rumah lain untuk Elis, aku tak yakin dia boleh jaga diri. Dia tu nama aje umur 20 tahun, tapi bukan boleh diharapkan sangat. Karang dia digoda mana-mana lelaki, lepas tu bercinta, maruah diri pulak diserahkan.”
Lain di mulut, lain pula di hati. Jauh di sudut sanubari yang paling dalam, Amsyar tidak sanggup berpisah dengan Elis. Dia yang membesarkan Elis. Tidak pernah sekalipun adiknya itu berenggang daripadanya.
Sehingga ke hari ini, Elisha masih belum mengetahui perkara yang sebenar bahawa Amsyar bukanlah abang kandungnya. Sepanjang Elisha membesar di bawah jagaan Amsyar, Elisha menyangka bahawa lelaki itu sedarah dan sedaging dengannya.
“Ada satu lagi cara, Am,” ujar Umar sambil mengangkat-angkat kening.
Amsyar memandang Umar dengan riak wajah hairan.
Umar tersenyum nakal.
“Apa kata, kau kahwin dengan Elis. Lagipun, kamu berdua kan sah nikah. Selesai masalah ni.”
Umar terus ketawa mengekek apabila Amsyar membaling bantal kecil yang berada di atas sofa ke arahnya.
“Okey, okey, aku minta maaf. Aku bergurau aje,” ujar Umar sambil mengangkat kedua-dua tangan.
Amsyar mendengus mendengar saranan lelaki itu.
“Aku serius kali ni. Macam ni, kau carikan lelaki yang baik untuk Elis, lelaki yang jaga solat, rajin kerja, lepas tu kau kahwinkan mereka. Senang sebab nanti dah ada orang jaga Elis. Aku ni pun boleh jugak dijadikan sebagai calon adik ipar kau, lelaki Islamkan boleh kahwin empat,” saran Umar lalu ketawa terbahak-bahak.
Ketawa Umar bagaikan tidak kedengaran pada cuping telinga Amsyar. Dia tergamam apabila Umar menyarankannya agar mengahwinkan Elisha.
Selama ini pun Umar yang menasihatinya agar menyuruh Elisha menutup aurat di hadapannya. Ini kerana dia tidak mampu menahan nafsu lelakinya apabila melihat Elisha.
Umar sudah lama berhenti ketawa. Nak tambah satu lagi, yang seorang pun sudah pening kepala. Wajah Emma terbayang di mata, isterinya yang banyak kerenah. Syukurlah dia banyak bersabar, jika tidak sudah lama berantakan rumah tangga. Lagipun, nak ke Emma bermadu dengan kawannya sendiri?

Friday 2 September 2016

JODOH SEBUMBUNG - PROLOG



PROLOG


ALLAH SWT telah menetapkan segala-galanya... Aku hanyalah hamba yang harus menempuhi apa jua ketentuan TUHANku. Apa sahaja takdir TUHANku. Tanpa ikatan yang menghalalkan kita, aku telah ditakdirkan menjagamu duhai puteriku. Tangan inilah yang membesarkanmu daripada sekecil telapak tangan, sehingga dirimu merangkak, bertatih dan seterusnya berjalan. Ketahuilah puteriku, segala yang aku lakukan untukmu menuntut pengorbanan. Dan sudah semestinya aku sanggup berkorban apa sahaja untukmu duhai sayangku. Apa sahaja. Segala keindahan itu cuma seketika, derita pula kucampakkan untukmu.Namun ketahuilah, hati ini turut berasa sakit. Dendam orang tuaku, memaksaku menjadi kejam. Puteriku sayang, sejak kau masih merah, begitu kecil dirimu di dalam dukunganku. Sejak itu lagi aku mencintaimu. Saat dirimu merangkak dan bertatih,waktu itu juga aku telah mencintaimu.Sehingga kau membesar di hadapan mataku, waktu itu juga cintaku begitu membara untukmu duhai puteri. Aku telah pun mencintaimu pada ketika kau tidak mengerti apa-apa lagi. Dan hari ini dirimu telah dewasa duhai puteriku, Elisha.Namun daripada sebalik sinar matamu, tiada cinta untukku. Peritnya hati ini, sedangkan aku mencintaimu hampir seluruh kehidupanku, sayangku... Mudah-mudahan suatu hari nanti, kau akan melihat sinar keikhlasan di mataku ini. Aku benar-benar mencintaimu, bunga suciku Puteri Elisha. 



AL-QURAN adalah mukjizat yang paling besar kurniaan ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Sebagai seorang yang beragama Islam, wajib untuk beriman kepada al-Quran. Lembaran naskhah mulia itu dibuka secara rawak. Anak matanya jatuh pada satu ayat. Dibaca tafsirannya.

‘Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasangpasangan agar kamu mengingati (kebesaran ALLAH). Surah Az-Zaariyat, ayat 49.’
 
  Jantung hatinya berdetak saat membaca tafsiran alQuran yang menyentuh tentang hidup berpasangan. Lembaran naskhah teragung itu dibelek secara rawak sekali lagi.

‘ALLAH menjadikan bagi kamu daripada isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu daripada isteri-isteri kamu itu, anak-pinak dan cucu-cicit dan memberikan rezeki daripada yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat ALLAH? Surah An-Nahl, ayat 72.’ 

Sekeping hati yang dipenuhi titik-titik dosa dan noda kini dijentik cahaya keimanan. Lantas dia memutuskan, gadis itu harus dikahwini.


    Sudah ada di pasaran.

    Coretan Novelis Siti Nur Dhuha: Assalamualaikum semua, di atas adalah Prolog atau permulaan cerita untuk novel ke 8 saya yang bertajuk Jodoh Sebumbung. Saya sangat berbesar hati jika pembaca meninggalkan komen setelah membacanya... 
 
    Peringatan: Karya ini adalah tulisan Siti Nur Dhuha dan hak milik penerbitan BUKU PRIMA.

Saturday 23 July 2016

Sinopsis Jodoh Sebumbung

Hari ini aku mendapat satu kesedaran yang memaksa aku untuk ketawakan diri sendiri.
Hahaha...
Ini berkenaan nama facebook aku...
Siti Nur Dhuha Novelis....

Najib Razak pun nama facebook dia just.
Najib Razak.
Tak ada pun dia tulis nama facebook dia, Najib Razak Perdana Menteri Malaysia.
Aku pulak, siap ada novelis bagai...
skemanya aku....

Nanti aku nak tukarlah nama facebook aku tu.
Letak,
Siti Nur Dhuha je.
Bila-bila aku ada kelapangan dan kerajinan, aku tukar. (Gatal kepala, garu-garu kejap)

Diperkenalkan kepada sesiapa yang belum kenal,
di bawah ini adalah novel terbaru saya yang ke-8...


RM29
Sinopsis:



KEMATIAN ibu dan ayah angkatnya memaksa Amsyar memikul tanggungjawab yang berat. Dia terpaksa membesarkan Elisha, anak yatim piatu. Sepanjang membesarkan Elisha, Amsyar merahsiakan bahawa mereka berdua sebenarnya bukan adik-beradik kandung. Amsyar bimbang, Elisha tidak mahu tinggal bersamanya lagi. Kerana Amsyar begitu menyayangi Elisha dan tidak sanggup untuk berpisah dengan Elisha.
Umar, iaitu sahabat Amsyar sering menasihati Amsyar agar menghalalkan hubungan mereka dengan perkahwinan. Sukar untuk Amsyar menerima Elisha sebagai isteri kerana memikirkan dendam ayahnya, Syed Mansor terhadap Elisha dan arwah ibu dan ayah angkatnya. Atas arahan Syed Mansor, Amsyar mula bersikap kasar dan menjadi kaki pukul. Dia sering menyakiti tubuh Elisha. Amsyar diugut, jika dia tidak membuatkan hidup Elisha merana, maka Syed Mansor sendiri yang akan menamatkan nyawa Elisha. Namun, dalam diam, Amsyar menyimpan perasaan cinta terhadap Elisha.
Adakah Elisha akan menjadi mangsa korban angkara dendam lama? Dapatkah Amsyar memiliki sekeping hati milik Elisha? Masih adakah kebahagiaan untuk Elisha?

Dah banyak kali aku pesan pada kau, kalau aku ada, kau kena pakai tudung, pakai baju besar! Faham?”-  Amsyar
“Sampai akhirat sekalipun, kau dan dia bukan adik-beradik kandung. Haram kau tinggal berdua-duaan dengan dia dalam satu rumah.” -  Umar
“Abang Am pukul Elis sebab Elis minta untuk keluar dari rumah ni. Ni bukan kali pertama Abang Am pukul Elis.” - Elisha





Friday 22 July 2016

AKU Kembali Setelah 3 Tahun Tak Tulis Blog

Maafkan aku kerana menghilang begitu lama. Hihihi.
Kali terakhir aku update blog adalah 2013, masa tu aku masih bujang trang tang tang.
Sekarang aku kembali semua pada bulan 7, 2016 setelah aku melakukan pengkhianatan besar kepada semua. Sorry! Aku dah kahwin tapi tak ajak kau orang.
Untuk pertemuan semula ini, aku minta maaf kerana tak dapat membahasakan diri sebagai Puan Dhuha, sebab aku tak berapa bersedia untuk bersopan malam ini. Mungkin lain-lain post, aku akan bahasakan diri sebagai 'Puan Dhuha'... terpulang pada mood aku.
Okey.... kita jangan cakap banyak lagi. Kita direct to the point...
Kita bercerita pasal manuskrip aku yang ke 9.
Sebenarnya aku belum tulis apa-apa lagi untuk manuskrip ke 9 aku walaupun aku pernah post di facebook bahawa aku sedang menyiapkan manuskrip ke 9..... ia satu pembohongan yang tidak di sengajakan. Tetapi walaupun begitu, aku sudah ada tiga idea yang berbeza-beza.... yang aku masih fikir-fikirkan sama ada sesuai atau tak untuk novel ke 9 aku.
Disebabkan otak dan akal aku memikul beban menyusun dan mencari idea yang cukup berat bagi aku, jadi aku sudah 4 hari tak keluar ke mana-mana. Terperap dalam rumah. Mak aku ni pun satu hal, dia tak bagi aku buka jendela rumah luas-luas. Dia cakap, dia hanya izinkan aku bukak jendela 1 inci setengah je. Kau orang boleh bayang tak betapa stressnya aku nak ikut peraturan ni.
AKU PERLUKAN UDARA SEGAR!
SUPAYA OTAK AKU SEGAR!
DAN BOLEH CARI IDEA BANYAK-BANYAK!
Alasan mak aku, dia tak nak jendela dibuka luas-luas sebab takut ular masuk ke dalam rumah. Dia juga tak nak kucing masuk.
Aku betul-betul rasa seperti tinggal di dalam gua.
Dengan keazaman untuk menyiapkan manuskrip yang begitu kuat, ada lagi penghalangnya.
Asal nak menulis, terpaksa masuk dapur memasak.
Asal nak menulis, perut lapar kena makan nasi dulu.
Asal nak menulis, perut terlalu kenyang sukar untuk bernafas.
Asal nak menulis, televisyen tayang filem Tamil yang best-best.
Asal nak menulis, terpaksa jemur kain.
Asal nak menulis, pinggan penuh sinki perlu dibasuh.
Asal nak menulis, mak aku panggil suruh hantar nasi ke bilik...dia nak makan nasi dalam bilik.
Asal nak menulis, lantai berhabuk perlu disapu.
Asal nak menulis, lantai perlu dimop
Asal nak menulis, teringin nak buka facebook, baca berita, baca post kawan-kawan, tengok kehidupan mereka yang bahagia aman sentosa bersama anak dan suami (walaupun aku yakin, sebahagian besarnya sedang membohongi dunia dengan kebahagian itu... hahahaha. Sedangkan realititnya, hari-hari gaduh pasal anak, pasal belanja dapur, pasal politik, pasal laki kau guna tandas tak pam harta dia, hahaha.... itu asam garam rumah tangga...)
Sampaikan satu saat, aku membentak pada diri aku sendiri.
Aku ni novelis atau suri rumah?
Mana satu kerjaya aku ni?
Novelis?
Suri rumah?
Sebenarnyakan, sejak aku tua bangka umur 27 tahun ni, aku memang tak boleh nak fokus menulis kalau dalam otak aku ni terkandung banyak sangat masalah hidup.
Suatu hari tu, aku pernah call laki aku di Gua Musang( kami suami isteri yang tinggal jarak jauh) semata-mata untuk menangis dan bercerita tentang masalah aku.
"Tak boleh nak menulis. Banyak masalah. Huu...huu... huu... (nangis)..."
"Bakpo?" tanya dia.
"Kerja rumah banyak. Sampah kat luar rumah 3 4 guni tak buang, dah berulat dah." Adu aku sambil meraung-raung menangis macam orang meroyan( mintak dijauhkan). Sistem aku macam ni, sampah sarap dan segala yang perlu dibuang yang berada di dalam rumah, akan aku isi di dalam plastik sampah besar gila dan letak di luar rumah berdekatan pintu dapur aku. dalam tiga minggu, jadilah 4 guni besar. Aku terpaksa angkut sampah tu atas kereta sorong dan tolak dalam 200 meter ke tempat tong sampah majlis daerah. Kalau empat guni, maknanya aku kena ulang alik buang sampah sebanyak 4 kali. Aku rasa beban gila! Aku sudahlah jenis cepat penat. Sebab tulah aku menangis tersedu-sedu. Ditambah pula beban-beban kerja rumah yang lain. Fikiran aku jadi bertambah kusut.

Okeylah, aku nak pergi dah ni... lain kali aku sambung...
penat.
Assalamualaikum.
Tata.

Sunday 6 January 2013

KENCING MANIS

Salam semua...
Apa khabar?
Cik Dhuha sihat sahaja. Buktinya tubuh Cik Dhuha agak tembam sedikit.
Tapi tak apa, janji Cik Dhuha boleh makan sedap-sedap setiap masa.
Cik Dhuha ada satu kebimbangan ni. Risau takut terkena kencing manis.
Kakak Cik Dhuha sudah desak pergi cek dengan doktor sama ada terkena penyakit itu ataupun tidak.
Ini kerana kakak Cik Dhuha telah merumuskan satu teori iaitu:

"Mak kita ada kencing manis! Oleh kerana bentuk tubuh kau  sama macam mak, malah cara kau makan pun sama macam mak( makan banyak!), kaki, hidung, rambut, semua ikut mak, jadi aku rasa kau mungkin ada kencing manis macam mak. Pergi cek cepat. Sebelum terlambat!"

Pada usia penghujung 23 tahun, di mana beberapa hari lagi nak masuk umur 24 tahun.... sangat menyedihkan jika Cik Dhuha benar-benar ada kencing manis.
Tak mau! Tak mau! Geleng kepala dengan laju.

sekian terimalah kasih ku ini( ringkasan dari 'terima kasih')
bye!!!





Monday 12 December 2011

nGanTuk weh

Rasa mengantuk sangat ni.
Mata antara terbuka dan nak tertutup...
aduhai mengantuknya.... tapi aku kena siapkan cerita aku... tak lama lagi nak kena hantar, aku tak nak terlepas peluang keemasan nak kuarkan buku baru untuk pesta buku antarabangsa nanti...
aku nak berjaya...
aku tak boleh tidur lagi sebab aku nak berjaya...
aku nak jadi macam RAMLEE AWANG MURSHID...
ke aku kena makan something malam-malam buta ni untuk hilangkan rasa mengantuk...
karang mak ingat kucing pulak yang sedang membuka periuk nasi...

RAMLEE AWANG MURSHID, penulis novel yang paling aku minati selain aku meminati SITI NUR DHUHA iaitu diri aku sendiri.hehehehe....
Semua buku abang penulis ni aku beli dan aku selalu jatuh cinta dengan watak-watak rekaannya termasuk Ryu-Wanatabe.. Kalau boleh macam nak kahwin je dengan semua watak hero abang Ramlee... bergilir-gilirlah, ikut turn...hehehe, alah gurau sikit pun tak boleh.... huhuhu...

okeylah, nak sambung menulis...
tidur nombor dua, yang pertama perlu siapkan my new novel....