Thursday 22 December 2016

JODOH SEBUMBUNG - BAB 1


BAB 1

BAGAIMANA caranya untuk membuang perasaan cinta terhadap seseorang yang tidak sepatutnya kita cintai?
Hembusan nafas yang cukup berat dilepaskan. Dahulu, Pak Cik Bukhari telah menasihatinya agar menyerahkan Elisha kepada mana-mana keluarga. Tetapi sungguh berat rasa hatinya untuk menyerahkan satu-satunya harta yang dia ada kepada orang lain. Tanpa Elisha, tiada ertinya hidup ini lagi.
“Elis tu semakin membesar hari demi hari. Sekarang ni tak apalah dia kecil lagi, kamu tengok pun tak ada nafsu. Bila dah besar panjang nanti, cantik pulak tu, iman kamu akan goyah. Tak pasal-pasal, kamu ‘makan’ dia nanti. Lagipun, kamu dan dia bukan adik-beradik kandung. Kamu tu cuma anak angkat arwah ibu dan ayah dia. Sanggup ke kamu jaga dia? Kamu tu pun budak lagi. Baru umur sepuluh tahun.
Macam nilah, biar pak cik tolong jual Elis kepada mana-mana keluarga yang berminat. Masa depan dia pun terjamin. Kalau tinggal dengan kamu, apalah sangat yang kamu dapat berikan untuk dia. Silap hari bulan, kamu berdua sama-sama tinggal di rumah anak yatim piatu. Kamu nak?”
Amsyar menggeleng dengan laju. Dia rela mengemis di tepi jalan daripada tinggal di rumah anak yatim piatu. Untuk menyerahkan Elisha kepada orang lain juga adalah perkara yang mustahil. Dia sudah berjanji kepada ibu dan ayah Elisha agar menjaga anak kecil itu lebih daripada nyawanya sendiri.
Imbauan masa lampau berlalu pergi. Wajah Pak Cik Bukhari berkecai. Semuanya gara-gara Elisha yang keluar dari bilik tidur dalam keadaan yang cukup menggetarkan jiwa lelakinya. Elisha hanya mengenakan baju tidur separas lutut dan tidak pula bertudung. Lenggang-lenggok Elisha menuju ke dapur.
Getah rambut diambil lalu Amsyar menocang tinggi rambutnya yang panjang separas bahu itu. Dia bangun daripada sofa kulit yang didudukinya lalu melangkah ke arah Elisha yang langsung tidak menyedari keberadaannya di rumah.
Tanpa menunggu lebih lama, Amsyar mencengkam rambut Elisha yang panjang mengurai itu. Tangan kanannya pula mencengkam dagu Elisha. Air kosong yang baru hendak diteguk tersembur keluar daripada mulut Elisha. Gelas kaca yang dipegang Elisha terlepas daripada tangan. Jatuh ke lantai dan pecah berderai.
“Ab...abang, sakit,” rintih Elisha.
Meskipun tidak melihat wajah insan yang memperlakukannya begitu, Elisha dapat mengagak bahawa insan itu tidak lain tidak bukan abangnya sendiri. Amsyar! Ini bukan kali pertama Amsyar bersikap kasar begini terhadapnya.
“Berapa kali aku nak cakap pada kau! Jangan pakai macam ni depan aku! Dah banyak kali aku pesan pada kau, kalau aku ada, kau kena pakai tudung, pakai baju besar!
Faham?” ujar Amsyar dengan nada suara yang ditekan di cuping telinga Elisha.
Bau rambut Elisha yang harum menusuk ke rongga pernafasan Amsyar. Jiwa lelakinya terusik lagi.
“Fa...faham,” balas Elisha sambil berusaha mengangguk untuk meyakinkan Amsyar bahawa dia tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
“Perlahan sangat, aku tak dengar! Kau faham tak ni?”
“Faham!”
Elisha cuba berkata dengan lebih kuat, namun sukar. Cengkaman pada dagunya itu menyukarkannya.
“Bagus. Sekarang ni, aku nak kau pergi masuk ke dalam bilik. Tukar pakaian yang lebih elok. Pakai tudung. Lepas tu keluar dan bersihkan gelas yang pecah ni. Aku tak suka rumah aku bersepah,” ujar Amsyar lalu melepaskan Elisha.
Terburu-buru gadis itu masuk ke dalam biliknya. Bagai dikejar serigala.
Amsyar memerhati sahaja setiap langkah Elisha. Nafas ditarik dalam. Wajahnya yang tegang itu perlahan-lahan berubah riak. Amsyar tersenyum. Hatinya berbunga. Virus cinta itu merebak lagi. Semakin cuba disingkir, semakin membiak dalam hatinya.
ELISHA menutup pintu dan mengunci dari dalam. Dengan tangan yang terketar-ketar, Elisha membuka almari dan mengeluarkan sepasang baju kurung. Tudung turut dikeluarkan. Jantungnya masih berdegup dengan laju lantaran terlampau takut.
Perlahan-lahan Elisha melabuhkan punggung di atas katil. Sungguh, Elisha langsung tidak tahu bahawa abangnya telah pulang ke rumah. Jika tidak, pasti dia tidak akan berpakaian seperti itu di hadapan Amsyar.
Elisha tidak tahu kenapa Amsyar begitu tegas tentang pemakaiannya. Sedangkan dia adalah adik kandung lelaki itu. Mengapa dia perlu menutup aurat seolah-olah abangnya itu adalah lelaki asing yang tidak mempunyai apa-apa persaudaraan dengannya?
Amsyar suatu ketika dahulu seorang abang yang penyayang, kini telah berubah menjadi seorang abang yang cukup bengis dan menakutkannya. Sekelip mata Elisha kehilangan segala keistimewaan yang pernah diberikan abangnya. Dulu, dia disayangi. Sekarang, dia dibenci.
Ketukan pada pintu mengejutkan Elisha daripada terus mengelamun.
“Berapa lama lagi kau nak duduk dalam bilik? Sampai aku pecahkan pintu ni?” jerit Amsyar dari luar.
“Ke...kejap, bang. Elis sedang tukar pakaian!”
Cepat-cepat Elisha menukar pakaian. Tudung dipakai.
Pintu bilik dibuka. Elisha tersentak. Amsyar masih berdiri di hadapan biliknya.
Elisha diteliti dari atas ke bawah. Keindahan seorang wanita yang sepatutnya dilihat seorang lelaki yang bergelar suami telah ditutup dengan sewajarnya. Amsyar berpuas hati. Dia kemudian berpusing untuk ke ruang tamu.
Apa kata aku hiburkan hati aku ni sikit? Amsyar mengukirkan senyuman sinis. Pasu bunga yang berada di hadapan mata ditolak. Jatuh berkecai ke lantai.
Elisha tersentak. Bagai hendak gugur jantungnya ke bumi. Kakinya bagai dipasung pada lantai.
Amsyar mula menyepahkan rumah yang sedia bersih itu semahu hatinya. Setelah puas, dia menuju ke pintu rumah lalu berhenti di situ. Satu kerlingan tajam diberikan pada Elisha.
“Kemas semua tu,” arah Amsyar lalu mula melangkah keluar dari rumah.
Lantas Amsyar masuk ke dalam kereta Honda Civic 2.0 yang tersadai di garaj. Enjin dihidupkan, kereta mula diundur keluar dari pagar. Pedal minyak ditekan keras. Berderum kereta bergerak pergi ke pusat bandar Kuala Lumpur.

AMSYAR menekan loceng apartmen beberapa kali sebelum seorang lelaki yang berwajah bersih membuka pintu.
“Maaf aku lambat buka pintu. Aku tengah solat tadi. Jemputlah masuk,” pelawa Umar.
“Isteri kau ada ke? Kalau ada, kita berdua keluar minum ajelah,” balas Amsyar.
Dia tidak selesa sekiranya isteri Umar ada di rumah. Tidak ada privasi untuk bercakap.
“Tak ada. Aku hantar ke rumah keluarga dia tadi, esok baru balik. Jomlah masuk.”
Amsyar mengangguk lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Dia melabuhkan punggung dengan selesa di atas sofa. Manakala Umar pula menghilang ke dapur untuk menyediakan minuman panas buatnya. Tidak lama, Umar keluar bersama dua cawan air kopi yang panas berasap.
“Kau datang ni mesti sebab nak cerita pasal Elis, kan?” tebak Umar.
Amsyar yang sedang memejamkan mata terus membuka. Hebat! Belum cakap sudah tahu.
“Pasal siapa lagi, pasal dialah. Selama ni pun dialah yang menjadi masalah kepada aku.”
Wajah Elisha terbayang di tubir mata. Menggamit sepasang bibir Amsyar untuk mengukirkan senyuman. Namun ditahan agar tidak dilihat Umar yang bijak membaca fikiran orang lain itu.
13
“Am, aku dah nasihatkan banyak kali pada kau. Lelaki dan perempuan, bila berdua-duaan maka ada yang ketiga, iaitu syaitan. Elis tak boleh lagi tinggal serumah dengan kau. Walaupun selama ni sejak Elis sebesar telapak tangan dan masih merah lagi, kau yang jaga dia, kau yang basuh berak kencing dia, suapkan makan dia dan melayan dia sebagai seorang abang dengan selayaknya, Elis tetap bukan darah daging kau. Sampai akhirat sekalipun, kau dan dia bukan adik-beradik kandung. Haram kau tinggal berdua-duaan dengan dia dalam satu rumah.”
“Kalau aku sewakan rumah lain untuk Elis, aku tak yakin dia boleh jaga diri. Dia tu nama aje umur 20 tahun, tapi bukan boleh diharapkan sangat. Karang dia digoda mana-mana lelaki, lepas tu bercinta, maruah diri pulak diserahkan.”
Lain di mulut, lain pula di hati. Jauh di sudut sanubari yang paling dalam, Amsyar tidak sanggup berpisah dengan Elis. Dia yang membesarkan Elis. Tidak pernah sekalipun adiknya itu berenggang daripadanya.
Sehingga ke hari ini, Elisha masih belum mengetahui perkara yang sebenar bahawa Amsyar bukanlah abang kandungnya. Sepanjang Elisha membesar di bawah jagaan Amsyar, Elisha menyangka bahawa lelaki itu sedarah dan sedaging dengannya.
“Ada satu lagi cara, Am,” ujar Umar sambil mengangkat-angkat kening.
Amsyar memandang Umar dengan riak wajah hairan.
Umar tersenyum nakal.
“Apa kata, kau kahwin dengan Elis. Lagipun, kamu berdua kan sah nikah. Selesai masalah ni.”
Umar terus ketawa mengekek apabila Amsyar membaling bantal kecil yang berada di atas sofa ke arahnya.
“Okey, okey, aku minta maaf. Aku bergurau aje,” ujar Umar sambil mengangkat kedua-dua tangan.
Amsyar mendengus mendengar saranan lelaki itu.
“Aku serius kali ni. Macam ni, kau carikan lelaki yang baik untuk Elis, lelaki yang jaga solat, rajin kerja, lepas tu kau kahwinkan mereka. Senang sebab nanti dah ada orang jaga Elis. Aku ni pun boleh jugak dijadikan sebagai calon adik ipar kau, lelaki Islamkan boleh kahwin empat,” saran Umar lalu ketawa terbahak-bahak.
Ketawa Umar bagaikan tidak kedengaran pada cuping telinga Amsyar. Dia tergamam apabila Umar menyarankannya agar mengahwinkan Elisha.
Selama ini pun Umar yang menasihatinya agar menyuruh Elisha menutup aurat di hadapannya. Ini kerana dia tidak mampu menahan nafsu lelakinya apabila melihat Elisha.
Umar sudah lama berhenti ketawa. Nak tambah satu lagi, yang seorang pun sudah pening kepala. Wajah Emma terbayang di mata, isterinya yang banyak kerenah. Syukurlah dia banyak bersabar, jika tidak sudah lama berantakan rumah tangga. Lagipun, nak ke Emma bermadu dengan kawannya sendiri?

No comments:

Post a Comment