Friday 2 September 2016

JODOH SEBUMBUNG - PROLOG



PROLOG


ALLAH SWT telah menetapkan segala-galanya... Aku hanyalah hamba yang harus menempuhi apa jua ketentuan TUHANku. Apa sahaja takdir TUHANku. Tanpa ikatan yang menghalalkan kita, aku telah ditakdirkan menjagamu duhai puteriku. Tangan inilah yang membesarkanmu daripada sekecil telapak tangan, sehingga dirimu merangkak, bertatih dan seterusnya berjalan. Ketahuilah puteriku, segala yang aku lakukan untukmu menuntut pengorbanan. Dan sudah semestinya aku sanggup berkorban apa sahaja untukmu duhai sayangku. Apa sahaja. Segala keindahan itu cuma seketika, derita pula kucampakkan untukmu.Namun ketahuilah, hati ini turut berasa sakit. Dendam orang tuaku, memaksaku menjadi kejam. Puteriku sayang, sejak kau masih merah, begitu kecil dirimu di dalam dukunganku. Sejak itu lagi aku mencintaimu. Saat dirimu merangkak dan bertatih,waktu itu juga aku telah mencintaimu.Sehingga kau membesar di hadapan mataku, waktu itu juga cintaku begitu membara untukmu duhai puteri. Aku telah pun mencintaimu pada ketika kau tidak mengerti apa-apa lagi. Dan hari ini dirimu telah dewasa duhai puteriku, Elisha.Namun daripada sebalik sinar matamu, tiada cinta untukku. Peritnya hati ini, sedangkan aku mencintaimu hampir seluruh kehidupanku, sayangku... Mudah-mudahan suatu hari nanti, kau akan melihat sinar keikhlasan di mataku ini. Aku benar-benar mencintaimu, bunga suciku Puteri Elisha. 



AL-QURAN adalah mukjizat yang paling besar kurniaan ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Sebagai seorang yang beragama Islam, wajib untuk beriman kepada al-Quran. Lembaran naskhah mulia itu dibuka secara rawak. Anak matanya jatuh pada satu ayat. Dibaca tafsirannya.

‘Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasangpasangan agar kamu mengingati (kebesaran ALLAH). Surah Az-Zaariyat, ayat 49.’
 
  Jantung hatinya berdetak saat membaca tafsiran alQuran yang menyentuh tentang hidup berpasangan. Lembaran naskhah teragung itu dibelek secara rawak sekali lagi.

‘ALLAH menjadikan bagi kamu daripada isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu daripada isteri-isteri kamu itu, anak-pinak dan cucu-cicit dan memberikan rezeki daripada yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat ALLAH? Surah An-Nahl, ayat 72.’ 

Sekeping hati yang dipenuhi titik-titik dosa dan noda kini dijentik cahaya keimanan. Lantas dia memutuskan, gadis itu harus dikahwini.


    Sudah ada di pasaran.

    Coretan Novelis Siti Nur Dhuha: Assalamualaikum semua, di atas adalah Prolog atau permulaan cerita untuk novel ke 8 saya yang bertajuk Jodoh Sebumbung. Saya sangat berbesar hati jika pembaca meninggalkan komen setelah membacanya... 
 
    Peringatan: Karya ini adalah tulisan Siti Nur Dhuha dan hak milik penerbitan BUKU PRIMA.

No comments:

Post a Comment